Cinta Adam & Aida dan Tips Beli Kereta

Ikuti cinta Adam & Aida dan bagaimana Adam merancang membeli kereta...




Salam Ceria,

Jika sebelum ini saya bercerita tentang mana satu menjadi pilihan kita kereta second hand atau kereta baru.Tapi kali ini kita bicarakan soal yang sama tapi dari perspektif sedikit berbeza.Mari ikuti cerita dibawah untuk kefahaman anda lebih jelas tentang pembelian kereta.



Kini Adam mendapati tugas sebagai juruaudit bertambah seronok selepas pertemuan 'istimewanya' dengan Aida. Sebenarnya, dia suka pergi bekerja setiap hari dan tidak keberatan bekerja hingga lewat malam!  Pada suatu petang, sewaktu semua orang sedang membuat persiapan untuk balik, hujan mulai turun dengan lebat. 

Semasa Adam menunggu di pintu masuk banknya, dia terlihat Aida sedang berdiri di sebelah mesin ATM. Dengan memberanikan diri, dia menghampiri Aida dan mula berbual dengannya. Dia bertanya sama ada dia sedang menunggu sesiapa tetapi Aida segera mencelah lalu berkata dia cuma menunggu hujan reda agar dia dapat berjalan ke stesen LRT yang berdekatan untuk menaiki tren ke rumahnya. Ini membuatkan Adam sangat gembira kerana ini membuka peluang baginya untuk mengajak Aida minum teh-tarik di warung mamak yang berhampiran. Dia terima pelawaan Adam dan mereka bersembang-sembang tanpa menyedari bahawa hujan sudah lama berhenti. Selepas itu, Adam menemani Aida ke stesen dan kemudian mereka bertukar-tukar SMS. Malam itu, Adam tak dapat tidur!

Fikirannya asyik memikirkan Aida dan menantikan peluang baru untuk mengalami detik-detik ‘manis’ seumpamanya. Tiba-tiba terlintas di fikiran Adam – mungkin inilah masa terbaik untuk memiliki sebuah kereta. Di samping kemudahan yang akan diperoleh, ini juga akan memberi Adam peluang untuk menghantar Aida ke rumahnya, lebih-lebih lagi pada hari hujan (dia berdoa agar hujan turun setiap hari!) Sebenarnya, hasrat membeli kereta sudah bermain di minda Adam sejak setahun lalu apabila dia mula bekerja tetapi dia menangguhkan pembeliannya untuk menabung wang secukupnya bagi bayaran pendahuluan. Inilah apa yang disebutkan oleh perancang kewangan sebagai keputusan tertangguh dan ini betul-betul memerlukan disiplin dan kesabaran. Memandangkan Adam mempunyai wang simpanan yang agak banyak, dia rasa kini dia mampu membeli kereta.

Pertama sekali Adam perlu membuat keputusan sama ada dia mahu membeli kereta baru atau kereta terpakai. Biasanya orang berpendapat adalah lebih bijak untuk membeli kereta baru kerana kos penyelenggaraannya jauh lebih rendah berbanding kereta terpakai. Itu mungkin nampak wajar tetapi kereta baru juga mempunyai kos intrinsik yang lain. Misalan, untuk mencegah jaminan kereta anda dibatalkan, anda perlu menghantar kereta baru anda untuk diservis ke pusat servis yang dilantik oleh pembuat kereta secara berkala. Dalam pada itu, mereka mungkin mengenakan caj yang lebih tinggi bagi servis dan alat ganti  berbanding bengkel biasa anda.  Faktor kos penting lain yang ramai orang kerap lupa untuk mengambil kira adalah amaun susut nilai yang lazimnya lebih tinggi bagi kereta baru berbanding kereta terpakai, lebih-lebih lagi kereta kontinental.

Sudah tentu membeli kereta terpakai pun mempunyai masalahnya yang tersendiri - terutamanya kos penyelenggaraan yang lebih tinggi dan kerosakan yang mungkin tidak kelihatan serta tempoh jaminannya yang sudah luput. Walau bagaimanapun, jika anda membuat keputusan untuk membeli kereta terpakai, anda dinasihati meminta seorang mekanik yang boleh dipercayai untuk memeriksa keadaan sebenar kereta itu terlebih dahulu. 

Kereta juga mesti mendapat kelulusan rekod pemeriksaan JPJ untuk memastikan kenderaan itu bukan kereta curi, tidak mempunyai pengubahsuaian yang menyalahi undang-undang, bukan kereta-potong dan sebagainya. Hanya selepas pemeriksaan tersebut dilaksanakan, anda boleh membayar si pemilik wang deposit kereta, memandangkan kes-kes penipuan yang berleluasa pada masa ini. Satu lagi fakta yang perlu dipertimbangkan adalah kadar kos pembiayaan bagi kereta terpakai adalah lebih tinggi berbanding kereta baru. 


Walau bagaimana pun, jika anda membeli kereta secara tunai, perkara di atas tidak membawa apa-apa kesan. Memandangkan ini, jika boleh, kita harus berikhtiar untuk membeli kereta secara tunai, tanpa apa jua bentuk pinjaman, kerana kereta merupakan aset yang susut nilainya dan mengambil apa jua bentuk pinjaman bukanlah langkah yang bijak. Sudah pasti ini juga bergantung pada kadar faedah yang dikenakan dan jumlah yang ditabung setakat ini. Namun begitu, kebanyakan orang masih mengambil pinjaman, memandangkan pinjaman tersebut dipukul rata bagi tempoh beberapa tahun.

Selepas banyak berfikir dan membandingkan harganya di beberapa tempat, Adam memutuskan untuk membeli kereta terpakai dan sanggup berkorban berbanding memiliki kereta baru berdasarkan wang yang dia bakal jimat daripada kos susut nilainya.  Seterusnya, dia menyemak belanjawan untuk melihat jumlah yang perlu diperuntukkan bagi bayaran ansuran keretanya setiap bulan. Mengikut kebiasaan, kita hendaklah mengehadkan bayaran ansuran kereta kita dalam lingkungan 15% daripada gaji bawa pulang kita agar kita berada dalam kedudukan kewangan yang baik. Dengan mengambil kira perkara ini, Adam menghitung angka-angka berikut:



Seperti yang kita lihat di atas, ini bermaksud Adam harus mengehadkan amaun pinjaman keretanya kepada RM22,500 dan membayar ansuran kereta sebanyak RM375 setiap bulan. Langkah berikutnya adalah untuk menetapkan bayaran pendahuluan yang mampu dibayar dan dengan menambahkannya kepada amaun pinjaman tersebut, ini boleh memberikan anggaran nilai bagi kereta yang perlu dibelinya.  Dia segera menyemak penyata pelaburan amanah sahamnya dan mendapati dia boleh mengeluarkan sebanyak RM10,000! Dia kagum memikirkan bagaimana pelaburan kecil yang dilabur selama beberapa tahun sahaja boleh terkumpul menjadi jumlah yang lumayan – dia teringat kata pepatah  Melayu, “sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit!”

Dengan sedikit keazaman dan tuah, dia berjaya mencari kereta terpakai yang berada dalam keadaan yang agak baik, dengan perbatuan yang rendah, pada harga RM30,000 sahaja. Selepas memberi bayaran muka sebanyak RM10,000, dia memohon pinjaman sewa beli berjumlah RM20,000 bagi tempoh lima ( 5 ) tahun pada kadar faedah 4% setahun. Ansuran bulanan yang dihitung ialah tepat-tepat RM400 {[(RM20,000 x 4% x 5) + 20,000] / 60} Jumlah komitmen pinjamannya hanyalah lebih kurang satu suku (1/4) daripada gaji bawa pulangnya yang masih boleh diterima kerana jumlah ini tidak melebihi satu pertiga  (1/3)  daripada gaji bawa pulangnya.

Dengan kereta “barunya”, Adam kini perlu mengawal belanjawannya dengan penyelarasan berikut:






Selepas menyemak semula belanjawannya, dia dapati dia perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM800 sebulan atas keretannya - RM400 bagi bayaran ansuran dan selebihnya atas petrol, tol, kos penyelenggaraan, cukai jalan dan insurans. Jadi dia tiada lagi pilihan melainkan untuk lebih berjimat cermat atas belanja makan minumnya dan hiburan jika dia mahu meneruskan hasratnya untuk menabung dan menikmati manfaat insurans nyawa. Walaupun dengan penyelarasan tersebut, wang masih tidak mencukupi tetapi ibu bapanya dengan murah hati telah menawarkan “rebet” atas berian bulanannya kepada mereka. Dia betul-betul rasa bersyukur dan berjanji untuk membalas budi baik mereka sebaik sahaja gajinya dinaikkan.

Kini barulah Adam percaya bahawa memiliki kereta bukannya murah! Dia masih teringat kata-kata ayahnya, “Sebelum membeli kereta, pastikan anda mampu menyelenggarakannya” Sejauh manakah kebenaran kata-kata ayahnya, dia memikirkannya sambil termenung …



sumber: http://www.akpk.org.my/Articles/PembelianKeretaPertama/tabid/311/Default.aspx
Share on Google Plus

About Zul k

Menulis adalah satu hobi. Permulaan untuk mengasah bakat agar memberi manafaat bagi yang memerlukan. Jangan segan untuk berkongsi. Semoga setiap perkongsian ini memberi manafaat untuk anda.

PERHATIAN

Coretan Blog merupakan luahan hati penulis.Bait katanya diharap tidak mencabuli kebebasan beraksi di dunia maya dan mengasari mana-mana identiti individu.

Sebarang artikel yang diambil dari blog ini adalah sangat digalakkan dan TIDAK boleh digunakan untuk mengaut keuntungan sendiri.
Sila letakkan link blog ini untuk artikel yang dipetik

Ada cadangan atau pertanyaan? Hubungi saya:

Nama

E-mel *

Mesej *